MELAKA – Keadaan seorang kanak-kanak berusia tiga tahun sembilan bulan yang cedera parah pada betis kanannya akibat gigitan seekor siamang ketika mengunjungi Zoo Melaka semalam, dilaporkan stabil.
Ayah mangsa, Kamarul Baharin Othman, 38, berkata anaknya Muhammad Afieq Haziq yang digigit haiwan berkenaan sehingga menampakkan tulang kaki terpaksa dibedah selama tiga jam di Hospital Melaka kira-kira 9 pagi Rabu.
Namun, beliau berkata keluarganya belum dimaklumkan oleh pihak hospital tentang jumlah jahitan yang diterima anaknya itu akibat kecederaan tersebut.
“Kejadian berlaku kira-kira jam 2.30 petang Selasa ketika kami sekeluarga menuju ke kawasan spesis burung. Kami kemudiannya dikejutkan dengan keadaan cemas apabila melihat beberapa pengunjung lari bertempiaran,” katanya ketika dihubungi di sini, Rabu.
Kamarul berkata pada masa yang sama seekor siamang menerpa dan terus menggigit betis anak keenam yang sedang didukungnya.
Beliau berkata dia kemudiannya bertindak menarik kepala siamang tersebut bagi mengelakkan betis anaknya daripada dimamah namun gagal sehingga seorang pengunjung membantu dengan menendang perut haiwan tersebut yang akhirnya melepaskan gigitan.
Kamarul berkata mereka sekeluarga yang menetap di Klang, Selangor berkunjung ke Melaka untuk bercuti sempena musim persekolahan selepas menghadiri majlis perkahwinan saudaranya di Semabok, Ahad lepas.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Zoo Melaka, Masri Mohd Arop berkata, kejadian seumpama itu adalah yang pertama berlaku di destinasi pelancongan tersebut.


Mangsa Gigitan Siamang Dilaporkan Stabil

Beliau berkata pihaknya memohon maaf dan turut bersedih dengan kejadian yang menimpa mangsa dan bersedia menghulurkan bantuan termasuk menanggung kos rawatannya.
“Haiwan tersebut telah ditangkap serta dikuarantin dan pihak kami akan menyiasat punca kejadian tersebut secara terperinci sebagai langkah pencegahan bagi memastikan kejadian sama tidak berulang,” katanya. -BERNAMA

sumber:mnh