cotatua.Blogspot

GOMBAK: Hanya kerana terlambat
memberi sudu, seorang pekerja
sebuah restoran di Dataran
Selayang, di sini, cedera di mulut,
muka dan kepala selepas dipukul
seorang lelaki yang tiba-tiba naik angin, kelmarin. Dalam kejadian kira-kira jam 10
malam itu, mangsa berusia 23
tahun sedang bertugas menjaga
kaunter apabila tiba-tiba
didatangi pelanggan yang
memarahinya kerana tidak mendapat sudu. Menurut sumber, mangsa
meminta lelaki terbabit bersabar
dengan alasan akan menghantar
sudu diminta dan pada masa
sama meminta maaf. “Namun permohonan maaf
mangsa tidak diterima, malah
lelaki itu terus menghamburkan
kata-kata kesat dan menumbuk
muka dan kepala mangsa
beberapa kali walaupun cuba ditepis,” katanya. Sumber berkata, berang apabila
mangsa cuba melawan, lelaki itu
memanggil dua lagi rakan yang
turut membawa sebilah parang
bersamanya. “Mereka kemudian memukul
mangsa bertubi-tubi. Malah
pelanggan lain hanya memandang
dan tidak berani campur tangan
kerana lelaki itu bersenjata
parang. “Mangsa bernasib baik kerana
berjaya melarikan diri daripada
terus dibelasah lelaki terbabit,”
katanya. Sumber itu berkata, mangsa
kemudian membuat laporan di
Balai Polis Gombak untuk
tindakan lanjut. “Mangsa dirawat di sebuah klinik
berhampiran akibat cedera di
bibir, muka dan kepala,”
katanya. Sementara itu, Ketua Polis
Daerah Gombak, Asisten
Komisioner Abdul Rahim Abdullah
mengesahkan menerima laporan
berhubung kejadian itu dan
siasatan lanjut sedang dijalankan. Menurutnya, kes disiasat
mengikut Seksyen 324 Kanun
Keseksaan dan suspek masih
diburu bagi membantu siasatan.