Ulu Tiram: Rasa hairan seorang nelayan apabila mendapati enjin sebuah bot masih hidup tetapi tiada pengemudi berhampiran Pangkalan Nelayan Sungai Serai, Ladang Nam Heng di sini, pagi kelmarin, membawa kepada operasi mencari dan menyelamat dua anggota polis yang dipercayai lemas ketika memancing udang.


Gambar: CARI...anggota penyelamat menjalankan operasi mengesan mangsa lemas.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, dalam kejadian jam 8 pagi itu, nelayan berkenaan sedang mengemudi botnya sebelum terserempak dengan bot terbabit.

“Nelayan yang baru pulang menangkap ikan itu hairan apabila mendapati tiada pengemudi di sana, lalu menghubungi nombor telefon yang tertera pada bot berkenaan untuk memaklumkan penemuan terbabit kepada pemiliknya.

“Pemilik bot itu kemudiannya membuat laporan polis sejurus dimaklumkan berkaitan perkara berkenaan,” katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPPK) Johor, semalam. 


SABARLAH...Junaini (kanan) menenangkan Sabariah.

Dalam kejadian itu, Lans Koperal Hussin Isa, 48, dan Koperal Mohd Nazri Omar, 39, dipercayai lemas selepas seorang daripada mereka jatuh ke laut manakala seorang lagi cuba membantu, tetapi gagal berbuat demikian.

Kedua-duanya menyewa bot berkenaan sebelum jam 7 pagi daripada seorang nelayan tempatan.

Menurut beliau, sebaik menerima laporan berkaitan kejadian, operasi mencari dan menyelamat dua mangsa yang dikenal pasti menyewa bot berkenaan terus dijalankan dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor serta Pasukan Gerakan Maritim (PGM) Wilayah Dua.

“Seramai 80 pegawai dan anggota termasuk penyelam membantu operasi itu dan beliau berharap mangsa dapat ditemui secepat mungkin.

“Pada jam 3.30 petang semalam, jenazah Hussin ditemui kira-kira 150 meter dari pangkalan nelayan berkenaan manakala setakat jam 7 malam semalam, usaha masih dijalankan untuk mengesan Nazri,” katanya.

Menurut Mokhtar, punca kejadian masih disiasat dan pihaknya akan membantu keluarga mangsa bagi meringankan beban mereka.

“Kami menemui dompet seorang daripada mangsa di dalam bot berkenaan dan tiada unsur jenayah dalam kejadian,” katanya. -hm 
 [http://greenboc.blogspot.com/2011/08/dua-polis-lemas-mempelajari-sesuatu.html]


komen cotatua:

  Di bulan yang mulia ini, walaupun kita terasa kehilangan sebenarnya yang kita rasa hilang tu dekat dengan kita, kesian kepada dua orang polis ini, walaubagaimanapun, ajal dan maut di tangan tuhan tiada siapa yang dapat menidakkannya,

Kepada ahli keluarga allahyarham, ku minta agar bersabar ,kehilangan orang yang tersayang di hari raya ini memang memilukan, tambahan lagi jikalau kita ada berbuat salah dan silap, marah dan sebagainya, Penyelesaiannya ialah kita doakanlah kesejahteraan orang yang pergi itu ,
Kerana yang mati itu sudah pergi, tinggal kita meneruskan kehidupan, walaupun pahit untuk ditelan , tetapi kita harus menerimanya,