KUALA LUMPUR,  27 NOV 2007:  Hasrat bintang veteran Allahyarham Hussein Abu Hassan, 70, untuk membelanja keluarganya makan-makan akhirnya bertukar menjadi kenduri arwah apabila beliau menghembuskan nafas terakhir diHospital Kuala Lumpur (HKL), awal pagi semalam.

Beliau meninggal dunia selepas diserang sakit  paru-paru berair berikutan  kompilasi buah pinggang yang dialami sejak 8 tahun lalu.

Allahyarham yang dikejarkan ke HKL pada malam Sabtu lalu, menerima rawatan di Unit Nefrologi selama dua hari sebelum meninggal dunia jam  5.30 pagi semalam.

Anak bongsunya,  Faizal, 40,  berkata :  "Sebelum ini ayah memberitahu saya yang dia nak belanja kami semua makan-makan, selain ingin menonton filem The Kingdom lakonan Jamie Foxx. Ini  kerana  sejak dari dulu lagi dia memang minat filem aksi  dari Hollywood.

"Jadi pada malam sabtu lalu, saya sempat membawa ayah bersiar-siar di Kuala Lumpur serta membeli baju untuknya. Tapi esoknya, dia dikejar ke hospital dengan memakai baju yang saya beli itu," kata Faizal.

Selain Faizal , Allahyarham dan balunya, Seniwati Mahyon Ismail, 65, dikurniakan dua anak, Dila, 44, Fairuz, 42.

Fairuz pula berkata,  Allahyarham sebelum ini ada mengeluarkan sejumlah wang yang banyak sebelum dimasukkan ke wad.

"Mungkin kenduri inilah kenduri  yang dia nak `belanja'," kata Fairuz dalam nada sayu.

Rosyam Nor yang juga anak saudara Allahyarham berkata, Hussein seorang yang sangat baik hati dan pemurah.

"Dia memang baik tapi di lokasi penggambaran dia memang garang. Jasanya memang tidak terbalas. Dialah yang membawa saya ke dunia lakonan. Tanpa Hussein Abu Hassan, tiadalah Rosyam Nor," kata Rosyam. 

Allahyarham Hussein Abu Hassan yang dilahirkan di Pulau Sebang, Alor Gajah, Melaka, pernah bekerja sebagai pegawai polis sekitar 1950-an sebelum menceburi bidang lakonan sebagai Pak Pacak.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Ibu Kota, Danau Kota, Setapak, selepas solat Asar, petang semalam.

Sedikit mengenai Allahyarham Hussein Abu Hassan, dia memulakan karier sebagai pelakon apabila menjadi esktra untuk filem Lela Satria arahan S.Roomai Nor di Studio Cathay Keris.

Kemudian dia muncul dalam filem Sultan Mahmud Mangkat Dijulang dan Yatim Mustapha. Seterusnya beliau mendapat peluang sebagai pelakon pembantu dalam filem Tun Teja arahan L. Krishnan di Studio Merdeka, Hulu Kelang.

Sejak itu minatnya tambah mendalam dan beliau diberikan pelbagai peranan penting dan seterusnya mengarah filem. Beliau juga pernah berlakon filem terbitan negara luar seperti Hong Kong (8 filem), Australia (2 filem), Filipina (2 Filem) dan Indonesia (5 filem).

Jasanya dalam bidang seni turut mendapat penghargaan dengan pengurniaan bintang Ahli Mangku Negara (AMN) oleh Yang Di-Pertuan Agong pada 1997.

Antara filem yang pernah dilakonkan:
- Di Ambang Misteri - (Pelakon Pembantu)  2004,
- Suami Isteri, Dan ...? (pelakon Pembantu) 1996,
- Sengketa Cinta - (Pelakon Pembantu) 1993, 
Boss - (Pelakon Tambahan) 1991,
- Kanta Serigala - (Pelakon Tambahan) 1991,
- Gila-Gila Remaja - (Pelakon Pembantu) 1986,
- Bujang Selamat - (Pelakon Pembantu) 1985,
- Manis-Manis Sayang - (Pelakon Pembantu) 1983, 
- Bukit Kepong - (Pelakon Utama) 1982,
- Sumpah Semerah Padi - (Pelakon Utama) 1981,
- Panglima Badol - (Pelakon Pembantu) 1978,
- Loceng Maut - (Pelakon Utama) 1976,
- Bunga Padi Berdaun Lalang - (Pelakon Utama) 1975,
- Kembang Layu - (Pelakon Utama) 1970
- Lanang Sejagat - (Pelakon Utama) 1969,
- Di Belakang Tabir - (Pelakon Pembantu) 1969,
- Darma Kesuma - (Pelakon Utama) 1967,  
- Nasib Do Re Mi - (Pelakon Pembantu) 1966,

murai . com